My Precious Buddies:)

Daisypath

Daisypath Coretan Kehidupan_ck

"U may hurt me with a truth but don't satisfy me with a lie"


Dah baca? Jom komen sikit?^^

Latest Karya

Latest Karya

31 May 2012

Love Make Me Smile 16





Love 16
            Puan Hayati tak berkalih memandang anak muda di hadapannya itu. entah siapa dan dari mana datangnya. Rasanya, melihatkan gaya lelaki ini, dia bukannya orang sembarangan.
            “Cucu ni siapa namanya?” Tok Mi bersuara memecah kebisuan.
            “Saya Ammar Adwan. Boleh panggil, Wan.” Jawab Ammar Adwan sambil mengukir senyum segaris.
            “Kamu ni dari mana?” soal Tok Mi lagi.
            “KL, Tok Mi.” Balas Ammar Adwan.
            “Buat apa datang sini?” terus terang Puan Hayati bertanya. Tiada nada mesra dalam percakapannya.
            Tok Mi yang mendengar pula segera menghantar isyarat melalui jelingan matanya. Tidak setuju dengan kelakuan anak perempuannya itu. Mana boleh layan tetamu macam tu?
            “Saya datang nak bincang sesuatu, berkenaan Nasha Athierah.” Beritahu Ammar Adwan.
            “Sebelum tu, kamu kata tadi, kamu ni kawan Atie kan? Kawan jenis yang macam mana?” soal Puan Hayati. Matanya tajam menikam wajah Ammar Adwan.
            Ammar Adwan diam, menarik nafas untuk menenangkan hati sendiri.
            “Kawan tempat kerja dia.” Jawab Ammar Adwan. Jawapan ni yang paling selamat rasanya.
            “Oh, kawan biasa je?” soal Puan Hayati. Masih dengan muka garangnya.
            Ammar Adwan mengangguk perlahan. Rasanya lebih molek jika dia meletakkan hubungan mereka sekarang sebagai kawan biasa sahaja. Lagi pula dia mahupun Nasha Athierah tidak pernah berbicara lanjut mengenai hal ini. Rasanya seperti dia saja yang angaukan si gadis. Hati si gadis, dia tidak pastilah pula.
            “Erm, baguslah kalau macam tu. Ingatkan kamu ni boyfriend dia ke apa.” Ucap Puan Hayati.
            “Nasib baik...” Puan Hayati berkata lagi.
            Ammar Adwan pelik. “Nasib baik?” soalnya, kurang mengerti. Macam tergantung pun ada ayat emak Nasha Athierah ni tadi.
            “Yelah, nasib baik. Kalau kamu ni boyfriend dia, memang freelah kena sebat dengan penyapu. Untie paling pantang kalau anak-anak untie bercinta-cinta ni. Untie lepaskan dia ke KL tu untuk belajar, untuk kerja. Bukan nak menggatal tak tentu pasal dengan jantan-jantan.” Panjang lebar Puan Hayati berhujah.
            Ammar Adwan mengangguk faham. Sekilas wajah Tok Mi di curi pandang olehnya.
            “Yati, sudahlah tu. Kamu menakutkan si Wan ni je. Ada ke tetamu datang nak di rembat dengan penyapu pulak?” lembut suara Tok Mi menegur.
            “Saya ni bukan apa mak, saya tak suka orang kampung bawak mulut, cerita yang bukan-bukan pasal keluarga kita ni..pasal anak-anak saya,”luah Puan Hayati.
            “Yelah Yati,” Tok Mi tersenyum segaris. Anaknya ini memang bertegas dalam hal yang satu ini. Kerana hal itu jugalah kedua orang cucunya itu tak ramai kawan lelaki. Masa sekolah dulu pun boleh di kira berapa kali kawan-kawan lelakinya datang ke rumah ni. Masa musim raya dan juga kenduri arwah. Kalau datang suka-suka, memang berasap telinga kena ceramah dengan Puan Hayati Sulaiman ni.
            “Tadi kamu kata ada benda nak bincang kan? Mesti benda penting, kalau tak..mana mungkin kamu boleh sampai ke sini.” Tok Mi memandang Ammar Adwan.
            Ammar Adwan tersenyum segaris. Wajah Tok Mi dipandang silih berganti dengan wajah Puan Hayati.
            “Hah, dah kenapa tak boleh nak bercakap pulak?” soal Puan Hayati.
            “Yati, sabar. Beri masa pada Wan.” Tegur Tok Mi.
            Puan Hayati merengus perlahan. Dia bukannya apa, cuma tak berapa gemar ada kelibat lelaki berlama-lama di dalam rumahnya. Nanti ada pula cerita liar yang tidak enak di dengar.
            Puan Hayati menjeling sekilas pada Ammar Adwan yang sedang terkulat-kulat. Kipas lipat di tangannya di buka kasar.
            “Sebenarnya saya datang ni...nak beritahu  mak cik...”
            “EHEM. Untie. Untie Yatt.” Celah Puan Hayati sambil menjeling sekilas pada Ammar Adwan.
            “Maaf, Untie Yatt?” Ammar Adwan hampir terlopong tak percaya. What? Untie Yatt?
            “Kenapa orang kampung tak boleh nak guna nick name glamour macam tu ke?” soal Puan Hayati sinis.
            “Err, tak. Maksud saya boleh...” Ammar Adwan garu keningnya. Alamak, mati aku macam ni!
            “Wan, jangan di kisahkan Mak cik Yati ni. Teruskan apa yang kamu nak beritahu pada kami tadi,”Tok Mi segera meleraikan suasana yang berubah tegang.
            Ammar Adwan menarik nafas, kemudian menghelanya perlahan-lahan. Wajah Tok Mi dan Puan Hayati di pandang silih berganti.
            “Saya datang nak minta restu Tok Mi dan Untie Yatt untuk ambil Nasha Athierah binti Ahmad Nasir sebagai isteri saya yang sah,”luah Ammar Adwan senafas. Gayanya macam nak melafaskan akad sahaja.
            “APA?!!!” bergegar seluruh rumah dengan pekikan Puan Hayati.
            “Apa eh apa! Apa kono eh jang, eh kau apa, apa!!!” Tok Mi yang terkejut terus bangkit menari zapin.
            Ammar Adwan pula terkesima melihat Puan Hayati yang sudah berdiri bercekak pinggang di hadapannya dengan mata yang membuntang besar.
            “Ya ALLAH, Yati! Kenapa tiba-tiba jerit ni...” Tok Mi yang sudah habis latah kembali mengambil tempatnya sambil mengurut dada.
            “Maaflah mak,” Puan Hayati tersengih segaris pada Tok Mi.
            “Apa kau cakap tadi?!” soal Puan Hayati pada Ammar Adwan.
            “Sa..saya nak ambil Nasha Athierah jadi...” Ammar Adwan sudah bersandar rapat ke dada sofa apabila Puan Hayati sudah mula menyinsing lengan blousenya.
            “Jadi apa?!” soal Puan Hayati, garang.
            “Jadi isteri saya!!” Ammar Adwan memejam rapat matanya. Ya ALLAH, betul ke apa yang aku buat ni?
            “Erm. Jadi itulah sebab kamu ke mari ni?” suara Tok Mi yang kedengaran membuatkan Ammar Adwan perlahan-lahan membuka matanya.
            Puan Hayati nampaknya sudah kembali mengambil tempat di sofa panjang.
            Ammar Adwan menghela nafas lega. Mujur tak kena ‘libas’ tadi.
            “Ya, Tok Mi.” Ammar Adwan sedaya upaya mengukir senyum.
            Puan Hayati memandang ibunya sebelum beralih pada Ammar Adwan.
            ‘Gentlemen,’ dalam diam hatinya memuji keberanian Ammar Adwan berjumpa sendiri dengannya. Puas sudah rasanya dia tayang sifat garang dan muka bengisnya sejak awal tadi, namun si jejaka masih lagi meneruskan niat kedatangannya ke sini.
            “Ada orang datang merisik anak kamu ni Yati oii,” Tok Mi tertawa kecil. Dari riak wajahnya, tergambar kegembiraan di situ.
            “Kamu ingat, Untie terharu ke dengan tindakan gentlemen kamu jumpa kami face to face ni sampai nak serahkan anak Untie tu senang-senang je pada kamu?” soalan Puan Hayati membuatkan Ammar Adwan terkulat-kulat lagi. Dah pulak?
            “Maksud Untie?” soal Ammar Adwan. Hati entah kenapa mula berlagu resah. Asalnya, dia fikir semuanya akan jadi baik-baik sahaja jika dia datang bersemuka dengan keluarga Nasha Athierah seterusnya menyatakan hasrat hatinya. Tetapi, keluarga Nasha Athierah ni..macam pelik sikit. Unpredictable. Tapi, itu semua bukannya alasan untuk dia berpatah balik.
            ‘Selagi aku tak dapat Nasha Athierah, aku takkan menyerah kalah.’ Hatinya dalam diam memasang tekad tersendiri.
            “Nak ambil anak untie jadi isteri kan?” soal Puan Hayati sambil tersenyum lebar. Senyuman yang menyimpan 1001 rahsia. Gerun.
            Ammar Adwan mengangguk yakin.
            “Ada ujian yang perlu kamu lepasi dulu.” Ucap Puan Hayati.
            “Ujian?” Ammar Adwan jatuh rahang. Terkejut. Tak sangka.
            “Ye. Ada dua ujian. Ujian lisan. Dan ujian praktikal.” Puan Hayati senyum lagi melihat wajah Ammar Adwan yang tadinya yakin kini sudah sedikit keruh. Takut ke cik abang oii?
            “Nak teruskan atau nak tarik diri?” duga Puan Hayati. Tok Mi di hujung sana hanya tersenyum. Faham sangat perangai anaknya yang seorang ini. Dah dua tiga kali perkara seperti ini di hadapinya. Dulu ada juga beberapa orang datang nak merisik si Atie tu, tapi semuanya gagal ujian peringkat pertama iaitu ujian lisan. Tak kurang juga ada yang terus minta diri bila di jerkah oleh anaknya itu sebaik masing-masing menyampaikan hasrat untuk memperisterikan Nasha Athierah.
            “Saya sayang Nasha Athierah, ikhlas kerana ALLAH. Sebab itu saya ke mari, berjumpa sendiri dengan Untie dan Tok Mi. Saya mahukan satu hubungan pasti yang sah di sisi agama dan undang-undang. Paling penting ianya mendapat restu dari semua terutamanya Untie dan Tok Mi. Untuk itu, saya rela buat apa saja untuk dapatkan restu dan keizinan dari Untie dan Tok Mi, asalkan tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang.” Kali ini Ammar Adwan sudah lancar mengatur bicara yang dirangkanya sepanjang malam.
            Yakinnya kata ucapan Ammar Adwan tadi berjaya membuatkan Puan Hayati terkedu seketika.
            “Baiklah, kita mulakan ujian lisan tu sekarang.”ucap Puan Hayati sambil membetulkan duduknya.
            “Dah sedia, Wan?” soal Tok Mi dengan senyuman lebar.
            “Insyaallah,” balas Ammar Adwan.
            Spontan Tok Mi berpaling sambil menekup mulutnya dengan tangan. Cuba menahan tawa yang mahu terburai melihat wajah polos Ammar Adwan yang pastinya tidak menjangka apa yang bakal terjadi nanti.
            “Mak...” mencerun mata Puan Hayati memandang Tok Mi.
            “Yelah,” sedaya upaya Tok Mi mengawal reaksi wajahnya supaya tenang kembali.
            “Mulakan Yati.” Ujar Tok Mi seketika kemudian. Wajahnya juga sudah di buat-buat serius.
            Ammar Adwan makin berdebar-debar.
            “Soalan pertama, ceritakan secara ringkas, padat dan lengkap berkenaan keluarga kamu.” Ujar Puan Hayati.
            “Saya anak kedua daripada 3 orang adik beradik.  Saya ada seorang abang, juga seorang adik lelaki. Ayah saya sudah meninggal dunia. Jadi, saya hanya ada seorang ibu sekarang ni. Abang saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 6 tahun. Kakak ipar saya meninggal dunia sewaktu melahirkan anak saudara saya itu.” Ammar Adwan tenang menjawab.
            “Soalan kedua, apa pekerjaan kamu? Sebagai mak, saya nakkan hidup dan masa depan anak saya terjamin jika dia bersama kamu nanti.” Puan Hayati memandang tepat wajah Ammar Adwan.
            “Saya bekerja sendiri. Menguruskan perniagaan keluarga yang di tinggalkan oleh arwah ayah saya dahulu. Insyaallah, saya mampu menyara anak Untie...” Ammar Adwan membalas pandangan tajam Puan Hayati.
            ‘Ada syarikat sendiri...’ Puan Hayati berkira-kira sendiri. Pastinya lelaki ini sudah mempunyai serba serbi. Jadi soalan seterusnya biarlah lain sedikit.
            “Nanti bawa bukti menunjukkan jawapan kamu itu benar dan boleh di terima.” Ucap Puan Hayati.
            Walaupun agak terkejut, namun Ammar Adwan mengangguk juga.
            “Soalan ketiga, berapa umur kamu?” soal Puan Hayati.
            “29 tahun.” balas Ammar Adwan ringkas.
            ’29? Kenapa lelaki yang ada kerjaya bagus, berharta dan berkemampuan ni kahwin lewat?’ persoalan itu bermain-main di fikiran Puan Hayati.
            “Kamu ada segalanya, rupa, harta, kerjaya...tapi kenapa masih belum kahwin dalam usia begini?” soal Puan Hayati.
            “Saya beri komitmen untuk stabilkan keluarga saya dahulu. Bantu adik bongsu saya berdikari dan habis belajar di samping perniagaan keluarga saya. Ibu saya, ibu tunggal, jadi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi keluarga.”terus terang Ammar Adwan menjawab.
            ‘Bagus. Family man.’puji hati kecil Puan Hayati.
            “Okay. Soalan keempat, dalam ramai anak-anak gadis kat KL tu, kenapa pilih anak Untie?” soal Puan Hayati.
            Ammar Adwan terdiam seketika. Dia perlu bijak mengatur bicara. Bijak dan jujur.
            “Sebab dalam ramai mereka, hanya anak  Untie yang boleh buat saya tersenyum. Dalam ramai-ramai perempuan tu, hanya anak Untie yang buat hati saya tenang. Dalam ramai-ramai perempuan tu, anak Untie yang buat saya ambil keputusan untuk sampai ke sini hari ni.”luah Ammar Adwan dengan muka yang sudah mulai berbahang. Sudah merah padam juga barangkali.
            Puan Hayati terkedu lagi. Entah bagaimana, hatinya dapat merasai kejujuran anak muda di depannya ini.
            “Okay, soalan terakhir. Tugasan paliiinnnnggg susah. Dah sedia?” soal Puan Hayati.
            Ammar Adwan tersenyum lega di dalam hati. Tak sangka dah sampai soalan terakhir. Phew...
            “Sudah,” yakin Ammar Adwan menjawab. Dah sampai soalan akhir ni, bertahan Ad!
            “Nyanyi satu lagu hindustan. Tak kisahlah lagu mana pun.” Puan Hayati berkata selamba.
            “HAH?!!” lagu hindustan? Ammar Adwan hampir saja nak jatuh terduduk ke atas lantai.
            Tok Mi yang hanya diam sedari tadi terus tertawa melihat wajah Ammar Adwan yang beriak terkejut.
            “Tok Mi dah agak, kamu mesti terkejut beruk macam tu,” ucap Tok Mi sambil tersenyum lebar.
            Ammar Adwan terkebil-kebil tak percaya. Sudahlah dia tak tahu mana-mana lagu hindustan pun. Macam mana nak buat ni? Kalau dia nyanyi lagu negaraku boleh tak?
            Ammar Adwan menghela nafas sambil tangan sudah naik mengurut pelipis. Lagu hindustan? Macam mana nak nyanyi ni??
          


________________
Hi:)
1. Ada sesiapa nak tolong nyanyikan lagu hindustan bagi pihak abang ammar? hehe;p
2. Ujian lisan dah nak selesai. apa jadi dengan ujian praktikal pula nnti? hailaaa...haru..haruuu~ hee:P
3. Happy reading pada yang singgah baca LMMS16 ni:)
4.Thanks pada yang drop comments:)

30 May 2012

Love Make Me Smile 15






Love 15
            Ammar Adwan termenung panjang sambil menongkat dagu di atas kaunter bar. Gelas berisi jus kotak di pusing-pusing perlahan.
            Fikirannya melayang pada insiden yang berlaku sejak kelmarin. Bermacam kaedah sudah di gunakan untuk mencuri perhatian Nasha Athierah, namun tiada satupun yang menampakkan kesan positif. Sebaliknya dia yang makan hati di akhirnya.
            Pertama sekali, selepas insiden sebakul coklat pemberiannya yang di sedekahkan oleh Nasha Athierah kepada seisi pejabat itu, Ammar Adwan mengambil langkah untuk memberikan sejambak ros merah seperti yang termuat dalam artikel di majalah milik ibunya itu.
            Namun, bunga yang asalnya milik Nasha Athierah sudah bertukar pemilik. Ada ke patut habis semua kuntum bunga tu Nasha Athierah bagi pada Diana? Tetapi, salah dia juga kerana tidak menyiasat betul-betul. Tak sangka Nasha Athierah alergik dengan debunga. Kesimpulannya, misi bunga ros merahnya gagal.
            Hari berikutnya dek kerana artikel tersebut menyarankan si lelaki untuk tampil sebagai seorang lelaki prihatin yang penuh sifat penyayang dan bertanggungjawab, Ammar Adwan siap bekalkan Nasha Athierah dengan sekaki payung kerana menurut ramalan jabatan kaji cuaca mengatakan pada petang hari berkemungkinan hujan lebat. Dan, memang benar petang itu hujan lebat siap dengan ribut petirnya. Tapi sewaktu dia melangkah ke pintu utama syarikat, dari jauh lagi dia sudah menyedari kelibat Nasha Athierah yang sedang sibuk untuk membuka payung pemberiannya. Masa itu, memang hati dia dah melompat-lompat gembira. Namun, gembiranya tidak lama apabila Nasha Athierah berjalan mengharungi hujan sambil berkongsi payung dengan Megat Adney. Rasa nak terbakar saja hatinya melihatkan gelagat mereka berdua.
            Hari berikutnya, belum sempat dia mahu mengajak Nasha Athierah keluar lunch bersama, kelihatan si gadis itu terlebih dahulu sudah berjalan beriringan dengan Megat Adney sambil bergelak tawa. Ketika itu terasa menggelegak darah di dalam badannya.
            Dan, kerana artikel itu jugalah, sepanjang hari ini dia mengukir senyum di wajah sehingga naik kejang otot muka. Mana tidaknya, menurut Amir Adwa, wajah dia yang sentiasa serius yang menjadi penyebab orang naik gerun. Nak tegur pun takut apatah lagi nak berkawan rapat. Tapi itu juga tidak mendatangkan kesan pada Nasha Athierah. Sebaliknya si gadis risau pula melihat dirinya yang berkelakuan aneh kerana tak henti mengukir senyum.
            ‘Senyum salah, tak senyum lagilah salah.’ Omel hati kecil Ammar Adwan. Gelas berisi jus buah di capai lalu di sua ke bibir.
            ‘Kesalahan paling besar aku pernah buat adalah terima Adney masuk syarikat. Kemudian, letak dia sebagai ketua Nasha Athierah.’ Hatinya makin membengkak apabila terlihat kelibat Nasha Athierah yang beriringan dengan Megat Adney ke kawasan parking kereta petang kelmarin dengan berkongsi payung.
            I’m such a loser.” Ammar Adwan kembali menongkat dagu. Semangatnya terasa hilang. Setiap kali dia mengatur satu langkah merapati Nasha Athierah, si gadis pula seakan mengatur sepuluh langkah menghindari dia. Apakah ini yang orang katakan bukan jodoh?
            Sebaliknya Megat Adney yang baru beberapa hari memasuki syarikat kelihatan semakin rapat dengan Nasha Athierah.
            “Artikel gila. Aku pun berkali ganda gila sebab ikut step dalam artikel tu.”bersama satu keluhan, telefon bimbitnya di bawa keluar. Saja mahu memeriksa to do list yang dibuatnya.
            “Coklat dan bunga, failed.” Terus ikon ‘delete’ di tekan.
            “Penyayang, prihatin, bertanggungjawab. Hancur.” Sekali lagi ikon ‘delete’ di tekan.
            “Senyum. Senyum, senyum sampai pipi kejang. Kerja gila.” Ikon ‘delete’ di tekan kasar.
            Sekarang, sampai pada langkah keempat dan kelima.
            “Ambil hati keluarga dia. Jadi diri sendiri.” Kepala yang terasa berat kerana kurang rehat dan tekanan yang semakin bertambah sejak beberapa hari ini di tongkat dengan tangan kirinya sambil tangan kanan mengurut pelipis.
            “Ambil hati keluarga dia...”jari bergerak menyelongkar fail di dalam telefon pintarnya. Maklumat berkaitan dengan ahli keluarga Nasha Athierah sudah di buat salinan ke dalam telefon bimbitnya. Sudah juga di baca berulang kali sehingga boleh dihafal setiap butirnya. Mengenangkan hal itu, bibirnya mengukir senyuman nipis..
            “Kenapalah aku boleh jadi gila pergi buat semua benda childish tu?”Ammar Adwan baru tersedar dengan gelagatnya seakan remaja yang begitu obses mengejar cinta yang tak pasti itu sangatlah tak sesuai dengan umurnya yang sudah mencapai 29 tahun. Bunga, coklat, cemburu, sakit hati sampai nekad pasang strategi pelik.
            ‘Ammar Adwan was so in love, head over heels nampaknya,’ Ammar Adwan tersengih kelat.
            “Papa,” suara comel di sebelahnya membuatkan Ammar Adwan segera menoleh.
            “Hi sayang. Tak tidur lagi?” soal Ammar Adwan sambil mengangkat Erina Casandra ke atas ribaannya. Biasanya Erina akan terus tidur setelah selesai menyiapkan kerja sekolahnya.
            Erina menggeleng perlahan.
            “Kenapa ni?” soal Ammar Adwan sambil mengusap kepala Erina Casandra.
            Erina tidak terus menjawab sebaliknya mencapai gelas berisi jus di hadapan Ammar Adwan yang tinggal separuh gelas. Jus buah itu di teguk sedikit.
            Ammar Adwan hanya memerhati. Wajah muram si kecil dapat di kesan oleh pandangan matanya.
            “Kenapa ni, sayang?” soal Ammar Adwan lembut.
            “Aizul usik sayang ke?” Duga Ammar Adwan. Kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun itu gemar sungguh mengusik Erina. Pernah sekali itu, sehari suntuk Erina menangis tak henti gara-gara Aizul mencium pipinya di sekolah. Jenuh juga dia memujuk si kecil Erina Casandra untuk kembali ke sekolah semula. Aizul agak nakal, tapi boleh tahan juga comelnya. Mengingatkan hal itu, Ammar Adwan tersenyum segaris.
            Erina Casandra adalah hidupnya.
            Erina menggeleng perlahan sambil tangan kecilnya bergerak memeluk lengan Ammar Adwan.
            “Papa...” suara Erina sudah bergetar.
            “Ye sayang?” Ammar Adwan mengusap rambut Erina Casandra.
            “Kenapa mama tak tinggal sekali dengan kita?” soal Erina Casandra dengan mata yang sudah berkaca.
            “Erm?” Ammar Adwan jadi pelik mendengar soalan dari bibir comel Erina Casandra. Tak pernah pula Erina bertanya begini sebelum ini?
            “Kenapa mama orang lain duduk sekali dengan diorang, tapi mama Erina tak?”
            “Sayang...”
            “Papa, suruhlah mama duduk dengan kita...” rayu Erina.
            Permintaan Erina kali ini benar-benar membuatkan Ammar Adwan terkelu. Wajah Erina Casandra yang sudah basah dengan air mata di seka perlahan.
            “Tak boleh, mama tak boleh duduk sekali dengan kita kat rumah ni.” beritahu Ammar Adwan. Memang sukar untuknya menerangkan duduk letak situasi sebenar pada kanak-kanak se kecil Erina Casandra yang belum tahu apa-apa, tetapi untuk terus membiarkan Erina hidup dengan sebuah harapan palsu dan penipuan, dia tidak sanggup.
            “Kenapa tak boleh?” soal Erina dengan sedu sedannya.
            “Mama sibuk kerja.” Ammar Adwan menjawab perlahan. Dia buntu mencari alasan lain untuk Erina Casandra. Bagaimana cara untuk dia menjelaskan segalanya pada Erina yang masih kecil ini?
            “Erina nak mama..nak mama,” gumam Erina bersama linangan air matanya.
            Hati Ammar Adwan luluh melihat kesayuan wajah si kecil kesayangannya itu.
            ‘Insyaallah sayang, Erina akan dapat ‘mama’ baru tak lama lagi. Papa tengah usaha ni,’ Ammar Adwan menarik tubuh kecil Erina Casandra ke dalam pelukannya.
            “Nanti papa bawa ‘mama’ duduk dengan kita kat sini ye?”pujuk Ammar Adwan.
            Mendengarkan kata-kata Ammar Adwan, tangisan Erina Casandra reda sedikit demi sedikit.
            “Betul? Janji?” soal Erina sambil memandang tepat ke wajah Ammar Adwan.
            Ammar Adwan tersenyum kelat. Wajah polos Erina Casandra membuatkan dia terkenangkan seseorang. Amran Adli.
            ‘Abang Adli, abang ada kat mana?’terlintas juga persoalan yang satu ini setelah sekian lama si ayah kandung yang juga abang sulungnya itu hilang tanpa khabar berita.
            “Janji?” soal Erina sambil mengangkat tangannya persis sedang berikrar.
            “Janji,” Ammar Adwan senyum sambil mencapai jemari comel Erina Casandra.
            “Jom tidur, esok nak sekolah kan?” Ammar Adwan meletakkan Erina Casandra ke atas kerusi tinggi di kaunter bar itu sebelum bergerak mencuci gelas yang sudah di gunakannya tadi. setelah selesai, dia bergerak merapati Erina Casandra.
            “Come,” Erina Casandra di bawa ke dalam dukungannya.
            “Sayang, petang tadi pak su ada jumpa Cikgu Laila lagi ke?” soal Ammar Adwan, sekadar mahu mengembalikan mood Erina Casandra.
            “Ada! Diorang nak pergi jalan-jalan hujung minggu ni...” ucap Erina separuh berbisik pada papanya.
            “Oh ya?” Ammar Adwan jungkit kening. Amboi adik aku ni?
            “Papa,”
            “Ye sayang?” Ammar Adwan bergerak ke pintu bilik Erina Casandra.
            “Erina sayang papa.” Ucap Erina Casandra sambil mengucup pipi Ammar Adwan.
            Ammar Adwan tersenyum lebar.
            “Papa pun sayang Erina,” pipi Erina turut di kucup sekali.
            Brush your teeth before go to sleep,” Ammar Adwan menurunkan Erina dari dukungannya. Erina Casandra mengukir senyum sebelum menghilang ke bilik air.
            Sementara menunggu Erina Casandra selesai, Ammar Adwan terlebih dahulu berbaring ke tilam yang di hiasi cadar serba pink.
            “Jadi diri sendiri. Ammar Adwan takkan lepaskan kemahuan dia begitu sahaja.” Ucap Ammar Adwan separuh berbisik. Kata-kata yang di tujukan khas pada dirinya sendiri.
            ‘Megat Adney, sepanjang ketiadaan aku, aku akan pastikan kau berada jauh daripada Nasha Athierah.’ Ammar Adwan punya rencananya tersendiri untuk esok.
           

            Nasha Athierah berjalan beriringan di sebelah Megat Adney menuju ke arah pintu utama.
            “Encik Adney, tadi...Encik Ammar...” Nasha Athierah teragak-agak untuk bertanya. Namun teringatkan wajah tegang lagi serius Ammar Adwan memanggil Megat Adney ke pejabatnya petang tadi sedikit menimbulkan tanda tanya.
            “Kenapa?” soal Megat Adney sambil mengukir senyum.
            “Encik Ammar mengamuk pasal projek dekat Kuantan tu ke?” soal Nasha Athierah.
            ‘Kalau memang itulah sebabnya, akulah yang menjadi punca utama masalah yang berlaku,’ desis hati kecil Nasha Athierah. Dia mengeluh perlahan. Tak pasal-pasal pula Megat Adney yang kena.
            “Taklah. Bukan pasal tu.” Megat Adney tersenyum lagi melihat riak wajah Nasha Athierah yang penuh rasa serba salah.
            “Bukan ke?” soal Nasha Athierah tidak percaya. Habis kenapa pula ya?
            “Bukan,” Megat Adney tertawa kecil melihat kekalutan Nasha Athierah.
            “Isy, beria saya cuak tadi. Ingatkan pasal hal tu,” Nasha Athierah berjalan sambil berpeluk tubuh. Buat penat je aku risau tahan gaban tadi.
            “Dua tiga hari ni, awak kena jaga diri.” Ucap Megat Adney sambil berdiri tegak di koridor hadapan bangunan pejabat.
            “Ha?” Nasha Athierah turut sama berhenti melangkah. Sekilas dia berpaling, mencari wajah Megat Adney.
            “Saya kena ‘buang’ negeri.” Beritahu Megat Adney dengan muka yang di buat-buat kecewa.
            “Ha? Ya ALLAH, Encik Adney buat salah apa sampai kena buang negeri pula ni?”buntang mata Nasha Athierah memandang Megat Adney yang masih kekal tenang. Siap boleh gelak lagi ni kenapa?
            “Mungkin sebab saya dah kacau line ‘raja’ yang memerintah agaknya?”Megat Adney tertawa lucu dengan kata-katanya sendiri. Makin menjadi tawanya sebaik teringatkan riak wajah majikannya tadi. bicaranya kedengaran tenang, tetapi wajahnya pula menggambarkan sebaliknya. Merah padam!
            “Ha?! Awak kacau ‘line’ apa ni? Raja dah murka ke apa ni?”naif Nasha Athierah bertanya. Namun hatinya benar-benar risau jika Megat Adney di buang negeri. Dia tak mahu kehilangan seorang kawan sebaik Megat Adney.
            Tawa Megat Adney meletus lagi. Wajah polos Nasha Athierah yang sedanf risau bukan kepalang di tatap lembut.
            “Bukan. Saya kena buang negeri sebab dah kacau awek ‘raja’.” jawab Megat Adney.
            “Fuyooo, berani betul Encik Adney buat macam tu ye?” Nasha Athierah melopong mendengarnya. Macam tak ada perempuan lain je Megat Adney ni nak tackle, yang pergi kacau awek raja tu siapa suruh? Isy, memang cari nahas betul!
            “Erm, tulah. Sekarang, raja tu macam dah ada aura-aura kemurkaan dengan saya. Mungkin risau saya kebas awek dia lah tu,” Megat Adney rancak berkias. Lancar lidahnya bergerak menceritakan kisah ‘raja’ dan aweknya itu pada si empunya diri.
            Nasha Athierah hilang kata. Terkejut bukan kepalang mendengarkan cerita Megat Adney.
            “Sha, awak ni comel betullah. Macam mana awak boleh percaya je apa yang saya cakap bulat-bulat?” soal Megat Adney sambil menahan tawa yang hampir terburai.
            “Eh?” terjungkit sebelah kening Nasha Athierah mendengar kata-kata Megat Adney.
            “Kalau saya kata saya nak hantar rombongan meminang awak, awak setuju dan iyakan jelah ye?” soal Megat Adney cuba mengusik.
            Nasha Athierah di sebelahnya sudah berkerut dahi. Hah? Encik Adney nak pinang aku?!
            “Saya bukan kena buang negerilah. Tapi kena hantar pergi outstation. Kota Kinabalu,”Jawab Megat Adney. Tak mahu lagi bermain teka teki dengan Nasha Athierah. Kasihan juga apabila riak risau jelas kelihatan pada wajah si gadis ini.
            “Hisy! Encik Adney ni tak patut tau. Nasib baik tak gugur jantung saya ni tadi. Punyalah risau saya memikirkan apa yang encik dah buat sampai buat raja murka. Siap kena buang negerinya lagi,”lengan Megat Adney spontan di pukul dengan beg tangannya.
            Seketika, tawa mereka bergabung sambil langkah di atur beredar dari situ.
           
           
            Ammar Adwan mengerling sekilas rumah traditional melayu di hadapannya. Setelah puas bertanya di sana sini, puas juga sesat kerana tersalah memasuki lorong, akhirnya dia tiba juga ke destinasi.
            Perlahan-lahan nafas di tarik dalam. Mengumpul kekuatan sebelum bergerak menguak pintu keretanya. Kaki di jejakkan ke tanah yang di litupi rumput yang kemas di jaga rapi. Pintu keretanya di rapatkan sebelum dia terjenguk-jenguk memerhatikan kawasan sekitar rumah tersebut.
            ‘Ada orang ke tidak ni?’ melihatkan keadaan yang sunyi sepi, membuatkan hatinya kembali dihambat kegusaran.
            “Cari apa?!” satu suara yang secara tiba-tiba memekik garang dari arah belakangnya membuatkan Ammar Adwan terhumban jatuh terduduk ke tanah dek kerana terkejut.
            Kuss semangat!
            ‘Nasib jelah jantung aku tak tertanggal!’omel Ammar Adwan sambil bingkas bangun.
            Seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibunya berdiri tegak sambil bercekak pinggang di hadapannya. Wanita itu cukup anggun berbaju blause lengan panjang dengan motif bunga abstrak di padankan dengan skirt labuh kosong, lengkap dengan tudung ber-awning.
            ‘Fuyoo. Boleh tahan vogue. Boleh kalah ibu aku nampak gayanya ni...’ sempat pula Ammar Adwan membuat perbandingan antara ibunya dengan wanita di hadapannya ini.
            “Assalamualaikum,” Ammar Adwan senyum manis sambil mengucapkan salam pada wanita di hadapannya itu.
            “Wa’alaikumsalam,” ringkas wanita itu menjawab sambil matanya tak lepas merenung tajam ke arah Ammar Adwan.
            “Ada apa kamu ke mari ni?” soal wanita itu. Nada suaranya tegas tanpa secalit senyuman pun di wajahnya.
            ‘Mesti ni mak Nasha Athierah. Garang.’ Ammar Adwan meneguk liur yang terasa kesat. Ya ALLAH, lutut dah mula nak menggeletar ni...
            Ammar Adwan segera berdiri sambil menongkat tangan pada badan keretanya. Mencari tempat untuk berpaut, menghilangkan gugup dek kerana wajah bengis wanita di hadapannya ini.
            “Saya datang nak jumpa dengan orang rumah ni.” beritahu Ammar Adwan. Mana tahu, wanita ni jiran mereka ke?
            “Sayalah tuan rumah ni. Nak jumpa buat apa?” soal wanita itu dengan wajah curiga.
            “Err Makcik Hayati, saya datang ni nak bincang sesuatu. Berkaitan Nasha Athierah.” Ucap Ammar Adwan. Rasanya dia tidak silap. Ini adalah emak kepada Nasha Athierah, Hayati Sulaiman.
            “Kamu ni siapa?” soal wanita itu dengan muka bengisnya.
            “Sa..saya kawan Nasha Athierah.” Jawab Ammar Adwan.
            “Kawan?!” soal wanita tersebut dengan mata yang membuntang tak percaya.
            “Ye, ka..kawan.” naik tergagap-gagap Ammar Adwan menjawabnya. Mak oii, garang pakej dengan muka bengisnya lagi. Aiya. Liur di teguk perlahan.
            “Erm. Naiklah dulu.” Pelawa wanita itu sambil berjalan menuju ke arah tangga batu di bahagian hadapan rumah.
            “Duduklah dulu, Untie nak ke belakang kejap.”ucap wanita itu sambil menekan perkataan Untie tadi.
            ‘Huh! Suka hati budak ni je nak panggil aku Mak Cik?’ getus hati kecilnya sambil menjeling tajam pada si jejaka.
            Ammar Adwan mengambil tempat di sofa berangkai dua di ruangan tersebut. Tak berkelip matanya melihat keadaan ruang tamu itu. Memang high taste.
            “Eh, tak payah susah-susah buat air ke apa mak..”
            “EHEM!”
            “Err, Untie..” Ammar Adwan terkulat-kulat sendiri. Habis berterabur skrip yang sudah di karang di dalam otaknya sejak malam semalam lagi di saat dia menyedari sangkaannya berkenaan personaliti mak Nasha Athierah yang jauh tersasar.
            “Eh, bila masa pula Untie cakap nak ke belakang buat air?” sarkastik wanita itu menjawab sebelum menghilang ke bahagian belakang rumah.
            “Yati, siapa tu?” soal satu suara pula.
            “Entah, kawan Atie katanya.” Kedengaran suara wanita tadi menjawab.
            “Kawan Atie?” derap langkah itu semakin menghampiri ruang tamu.
            “Oh, jadi kamu ni kawan Atie?” soal wanita berkain batik dan berbaju kurung kedah itu sambil tersenyum mesra pada Ammar Adwan yang sudah gelisah sedari tadi.
            “Saya ni nenek Atie,” ramah wanita tua itu menghulurkan salam pada Ammar Adwan.
            “Nenek,” Ammar Adwan menyambut huluran salam tersebut.
            “Duduklah,” pelawa wanita tua itu sambil dia mengambil tempat pada sofa tunggal.
            “Ye, terima kasih.” Ammar Adwan menjawab sambil mengukir senyuman segaris. Ya ALLAH, berdebarnya hati!
            “Panggil aje nenek ni, Tok Mi,” ucap wanita tua itu lagi.
            “Baiklah, Tok Mi.” Ammar Adwan menjawab sopan.
            ‘Jadi inilah nenek Nasha Athierah. Memang nampak penyayang. Dari tadi senyum,’ bisik hati kecil Ammar Adwan.
            “Kamu ni, siapa namanya?” soal Tok Mi kepada anak muda di hadapannya itu. Setahu dia, Nasha Athierah tak ramai kawan lelaki.
            “Saya...”kata-kata Ammar Adwan mati apabila kelibat wanita tadi muncul dengan menatang sedulang air.
            Sekali lagi Ammar Adwan meneguk liur yang terasa kesat di saat pandangan tajam mata wanita itu berlaga dengannya.
           
            
____________________
Hi:)
1. Abang Ammar kita dah mula bukak step, tapi emak nasha athierah pula, mak oii garangnya.
2. Enjoy reading.
3. Kalau sudi, bolehlah drop comments.
4. Thanks singgah sini:)